Pasangan mata wang EUR/USD memulakan minggu dagangan baru di kedudukan yang hampir sama di mana ia mengakhiri dagangan pada Jumaat lalu - di sempadan tahap 1.15 dan 1.16. Aliran menurun telah membentuk tahap rendah - 1,1560, yang selari dengan garis bawah indikator Bollinger Bands pada carta harian. Tahap rintangan kini menjadi penghalang harga utama untuk penjual.
Secara umumnya, tren menurun masih mendominasi pasangan ini, sebagaimana pasangan mata wang EUR/USD dilihat telah turun secara konsisten sepanjang bulan September. Pergerakan selama empat minggu berlanjutan terutamanya disebabkan oleh jangkaan "hawkish" pedagang, yang disokong oleh pertumbuhan pasaran minyak (setong minyak mentah Brent diniagakan di sekitar paras harga $80) dan kenyataan yang bersesuaian dari beberapa wakil Fed (khususnya, James Bullard yang telah membenarkan kenaikan kadar dua kali ganda pada tahun 2022).
Dengan erti kata lain, pasangan mata wang EUR/USD ini mengekalkan kecenderungan penurunan harga yang selanjutnya sekurang-kurangnya ke atas tahap sokongan. Euro berada di bawah tekanan ekoran laporan fundamental yang negatif - komen "dovish" Christine Lagarde baru-baru ini dan kebanyakan rakannya telah memberikan banyak tekanan ke atas mata wang euro selain pertumbuhan inflasi di zon Eropah. Oleh itu, pedagang pasangan mata wang EUR/USD hanya perlu menumpukan perhatian kepada peristiwa di Amerika, dalam konteks pemulihan harga yang mungkin berlaku.
Itulah sebabnya acara utama minggu ini adalah laporan Gaji Bukan Perladangan (NFP). Data penting di pasaran buruh akan menentukan vektor pergerakan mata wang AS. Sebaliknya, semua laporan ekonomi yang lain akan menjadi sekunder.
Mengingat semula pada laporan NFP bulan Ogos yang menjejaskan kenaikan dolar AS. Kebanyakan indikator pasaran buruh AS merosot dengan ketara, setelah ia menyaksikan pertumbuhan yang berterusan selama berbulan-bulan. Sebagai contoh, kadar kenaikan jumlah orang yang bekerja di sektor bukan perladangan secara konsisten meningkat selama empat bulan, bermula pada pertengahan musim bunga. Ekonomi AS "memberikan" 278 ribu pekerjaan baru pada bulan April, 580 ribu pada bulan Mei, 938 ribu pada bulan Jun (angka bulan Jun disemak semula menaik dari nilai bacaan sebelumnya iaitu 850 ribu), dan sedikit lebih dari satu juta (indikator Julai juga disemak semula menaik dari nilai awal - 943 ribu) pada bulan Julai. Tetapi pada bulan Ogos, indikator jatuh dengan ketara: hanya mencatatkan kenaikan sebanyak 235 ribu sementara ramalan mengunjurkan pertumbuhan 720 ribu. Di sektor swasta ekonomi, indikator mencatatkan bacaan pada kadar yang hampir sama - 243 ribu dengan ramalan pertumbuhan kepada 665 ribu. Sekiranya indikator utama juga mengecewakan pedagang pada minggu ini, pembeli pasnagan mata wang EUR/USD akan mempunyai alasan untuk membuat pembetulan menaik yang mengagumkan. Jika tidak, tren menurun akan berterusan.
Berdasarkan kepada ramalan awal, data pasaran buruh bagi bulan September akan menyokong mata wang AS. Khususnya, kadar pengangguran harus menurun kepada 5.1% (minimum satu setengah tahun). Sementara itu, gaji purata setiap jam dijangka meningkat 0.5% pada bulanan dan 4.6% pada tahunan. Sekiranya angka gaji mencatatkan bacaan di zon hijau (pertumbuhan), jangkaan inflasi pelabur akan meningkat semula. Pertumbuhan pasaran minyak, masalah dalam rantaian bekalan, dan kenaikan purata kadar upah adalah faktor yang menyebabkan lingkaran inflasi melonggar lebih banyak. Indikator utama, yang mencerminkan peningkatan jumlah orang yang bekerja di sektor bukan perladangan, juga harus mencapai tahap "layak", yang mencerminkan penciptaan setengah juta pekerjaan pada bulan September. Untuk sektor pembuatan, dan juga di sektor swasta, indikator juga harus menunjukkan dinamika positif.
Penerbitan makroekonomi yang selebihnya pada minggu ini akan memainkan peranan sekunder untuk pasangan mata wang EUR/USD. Hari ini, kalendar ekonomi hampir kosong. Tetapi pada masa yang sama, dolar AS mungkin bertindak balas terhadap pertumbuhan pasaran minyak, yang pada gilirannya, sedang menunggu hasil pertemuan OPEC+ pada hari ini, di mana pengeluar mungkin akan memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran pada bulan November. Sekiranya pihak-pihak ini tidak mengambil keputusan seperti itu, maka harga minyak akan naik semula, menarik mata wang AS.
Pada Selasa, anggaran akhir untuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Jerman, Perancis, Itali, dan seluruh zon Eropah akan diterbitkan. Menurut ramalan, anggaran akhir indeks ini akan bertepatan dengan nilai awal, jadi adalah tidak mungkin pengumuman laporan ini akan memberi kesan ke atas pasangan mata wang EUR/USD. Walau bagaimanapun, indeks aktiviti perniagaan ISM AS bagi sektor perkhidmatan berpotensi untuk memprovokasi turun naik harga. Indikator tersebut dijangka menurun kepada 59 mata.
Selepas itu, tumpuan pedagang pada Rabu adalah laporan mengenai pertumbuhan pasaran buruh yang akan dikeluarkan oleh agensi ADP (sejenis "harbinger" dari Nonpharm) dan ucapan oleh perwakilan Fed: Raphael Bostic dan John Williams.
Pada Khamis, minit mesyuarat terakhir ECB akan diterbitkan. Ini adalah dokumen yang sangat menarik yang dapat menggambarkan sentimen dominan di kem Bank Pusat Eropah. Sekiranya majoriti anggota ECB menyatakan penilaian yang berhati-hati dan pesimis (berkemungkinan besar), euro akan berada di bawah tekanan tambahan.
Selain data NFP yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, anda juga harus memperhatikan indeks aktiviti perniagaan China bagi sektor perkhidmatan dari Markit, yang diramalkan meningkat kepada 49 mata.
Secara umumnya, dolar AS secara beransur-ansur dapat mengukuhkan kedudukannya minggu ini sementara menunggu data yang baik di pasaran buruh AS. Pasaran minyak mungkin memberikan sokongan tambahan jika harga minyak naik semula setelah pertemuan wakil-wakil negara OPEC+.
Gambaran teknikal untuk pasangan mata wang EUR/USD masih menunjukkan keutamaan pesanan menjual. Pada carta harian, harga terletak di antara garis tengah dan bawah indikator Bollinger Bands dan di bawah semua garis indikator Ichimoku, yang menunjukkan isyarat "Parade Line" menurun. Sasaran pertama untuk penurunan harga adalah pada tahap 1.1560 (garis bawah indikator Bollinger Bands pada carta harian). Sasaran seterusnya terletak pada 1.1530 (garis bawah indikator Bollinger Bands yang bertepatan dengan sempadan bawah Kumo cloud pada carta mingguan). Setelah menembusi tahap sasaran ini, penghalang utama harga adalah tahap 1.1500.