Trump “Menghentak” Dunia: Negara Paling Terjejas oleh Tarif AS Terbaru

Pada 2 April, Donald Trump melancarkan serangan terhadap perdagangan global dengan mengumumkan tarif baru yang jauh lebih keras daripada jangkaan pasaran. Kini,tarif asas 10% dikenakan kepada semua pengeksport ke Amerika Syarikat, lebih 60 negara dikenakan duti tambahan yang lebih tinggi. China menerima tamparan hebat, dengan tambahan 34% di atas tarif sedia ada—menjadikan beban tarif eksport China ke AS sehingga 50% atau lebih, mencecah 65% untuk sesetengah barangan. Namun,ada negara lain yang lebih terjejas. Berikut ialah sorotan negara-negara yang menghadapi penalti perdagangan:

Lesotho

Negara kecil di selatan Afrika ini berada dalam situasi paling rapuh. Tarif 50%—tertinggi dalam rejim tarif baharu AS—dikenakan ke atas eksport Lesotho, yang hampir sepenuhnya bergantung pada penghantaran tekstil ke pasaran Amerika (bernilai $240 juta pada 2024). Kenaikan ini menghapuskan kelebihan AGOA (African Growth and Opportunity Act) yang sebelum ini memberikan akses istimewa. Kini, Lesotho berdepan risiko pengangguran melonjak, output industri jatuh, dan pendapatan pertukaran asing merosot.

Kemboja

Bagi Kemboja, ekonomi berasaskan eksport, tarif 49% ke atas barangan ke AS bakal memberi kesan mendalam. Amerika Syarikat ialah rakan dagang utama—38% eksport negara ini ke pasaran Amerika, bernilai hampir $9.9 bilion (2024), terutamanya pakaian, kasut, dan barangan perjalanan. Kenaikan tarif ini mengancam daya saing pengilang, pekerjaan dalam sektor buruh intensif, dan kemasukan hasil eksport, sekaligus memperlahankan momentum ekonomi Kemboja.

Laos

Laos, negara termiskin di Asia Tenggara, kini menanggung tarif 48% yang memberi ancaman serius kepada sektor eksport berintensif buruh. Barangan utama ke AS: tekstil, kayu, dan hasil pertanian. Dengan pendapatan per kapita yang rendah dan kapasiti ekonomi terhad, Laos dijangka sukar menampung kerugian—kilang mungkin ditutup, hasil eksport merosot, dan kemiskinan semakin teruk, terutama dengan pengurangan bantuan AS serta pengaruh China yang kian ketara di rantau ini.

Madagascar

Negara kepulauan di pesisir tenggara Afrika ini berdepan tarif 47% ke atas eksport utama seperti tekstil, vanila dan mineral. Pada 2023, eksport ke AS menurun kepada $669 juta, dan tarif baharu dijangka mempercepatkan kejatuhan ini. Hampir separuh eksport Madagascar sebelum ini mendapat kelebihan AGOA, tetapi kini kelebihan itu terhapus sepenuhnya. Negara ini kini berdepan tekanan besar dari segi pendapatan asing, pengangguran dan pertumbuhan ekonomi.

Vietnam

Tarif 46% ke atas eksport Vietnam memberi cabaran besar kepada ekonomi paling pesat membangun di Asia Tenggara. Duti ini tertumpu kepada sektor pembuatan ringan, elektronik, dan perabot—semuanya amat bergantung pada pasaran AS. Pada 3 April, *Perdana Menteri Pham Minh Chinh memanggil mesyuarat kecemasan untuk menggubal dasar respons, tetapi usaha pengurangan tarif terhadap barangan AS sebelum ini masih gagal menyelamatkan Vietnam daripada gelombang sekatan perdagangan terbaru Washington.